KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Jawahar Ali Taib Khan menafikan dakwaan bahawa pemilik restoran mamak mengamalkan corak perniagaan kartel dalam sebuah sidang media bertarikh 1 Jun 2022.
Dalam sidang media yang berlangsung di Pejabat Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) itu, beliau menafikan sebuah kenyataan bertajuk “Ramai Jadi Mangsa Kartel Mamak” yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar tempatan.
Berkenaan dakwaan tersebut, beliau berkata bahawa dakwaan tersebut adalah tidak berasas sama sekali kerana pemilik restoran baik mereka yang baru berniaga atau menambah rangkaian perniagaan berusaha dengan bersungguh-sungguh dan bukannya melalui kartel.
Menurut Datuk Jawahar, kenyataan tersebut telah menjejaskan nama baik dan imej pengusaha restoran mamak yang telah lama bertapak di negara ini.
Ekoran itu, PRESMA bakal mengambil tindakan undang-undang ke atas akhabr terbabit dan laporan polis telah dibuat setelah mengambil kira pandangan banyak pihak serta nasihat peguam.
PRESMA turut menasihati rakan-rakan media untuk mengamalkan kewartawanan bertanggungjawab agar tidak berlaku sebarang kecelaruan maklumat yang akan mendorong kepada implikasi perundangan.