KUALA LUMPUR, 1 Jun 2022: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Ke-64 kepada seluruh warga TUDM, Veteran TUDM serta semua yang pernah berkhidmat bersama TUDM.
Ucapan tersebut dibuat menerusi satu hantaran di laman rasmi facebook Istana Negara pada hari ini.
Menurut hantaran tersebut, jasa, khidmat dan bakti TUDM dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan ruang angkasa negara amat dihargai dan disanjungi.
Sehubungan itu, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan harapan agar TUDM terus mengorak langkah ke hadapan selain turut menjadi sebuah Angkatan udara yang disegani di persada antarabanga.
“Semoga TUDM terus mengorak langkah sebagai satu ketumbukan udara yang moden dalam mempertahankan kedaulatan ruang angkasa negara serta menjadi sebuah angkatan udara yang disegani dan dihormati di persada antarabangsa,” menurut hantaran itu.