31 JANUARI 2022: ProtectHelath Corporation Sdn. Bhd (ProtectHealth) dalam satu kenyataan mengalu-alukan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) dan menggalakkan penyertaan Pakar Pediatrik Swasta dan Klinik Pakar dalam program ini.
Hal ini susulan sidang media oleh YB Dato’ Dr. Noor Azmi Ghazali, Timbalan Menteri Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) yang akan bermula pada 3 Februari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Dato’ Dr Anas Alam Faizli menyatakan bahawa ProtectHealth melalui Pengamal Perubatan Swasta (PPS) akan terus membantu dan bekerjasama dengan KKM dalam pelaksanaan PICKids.
Sebagai permulaan, PICKids akan dilaksanakan di Lembah Klang melalui hospital-hospital bagi kanak-kanak yang mempunyai komorbiditi, manakala bagi kanak-kanak tanpa sebarang masalah kesihatan, vaksinasi akan diberikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi.
Mengulas lanjut, Dr Anas turut berkata “ProtectHealth akan memastikan bahawa semua PPV di bawah ProtectHealth, termasuk PPV Integrasi, PPV Offsite dan PPV Hospital Swasta terpilih akan bersedia sepenuhnya untuk menampung kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun mendapatkan vaksin dan memberikan perkhidmatan yang terbaik”.
ProtectHealth dalam kenyataan yang sama turut memaklumkan tarikh bagi pengoperasian PPV untuk PICKids iaitu PPV Integrasi di Kuala Lumpur dan Selangor, 3 Februari 2022 (Isnin – Ahad); PPV Offsite Terpilih di Selangor, 5 Februari 2022 (Sabtu dan Ahad); PPV Offsite Terpilih di Kuala Lumpur, 5 Februari 2022 (Isnin hingga Ahad); dan PPV Hospital Swasta, 7 Februari 2022 (Hari Terpilih).
Sehingga 27 Januari 2022, lebih daripada 63.1 juta dos vaksin telah diberikam dan 51.5% juta dos disumbangkan oleh PPS dan NGO Kesihatan di bawah ProtectHealth.