PETALING JAYA: Ahli Parlimen Simpang Renggam yang juga merupakan bekas Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik menafikan dakwaan rasuah yang melibatkan beliau.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, beliau menyatakan bahawa dirinya telah membaca laporan yang diterbitkan oleh sebuah portal akhbar mengenai dakwaan rasuah terhadap beliau.
Beliau dengan sekeras-kerasnya menafikan dakwaan tersebut dan mengatakan dakwaan tersebut adalah sebuah dusta berunsur fitnah.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyatan rekayasa dusta berbaur fitnah ini,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.
Beliau turut berkata bahawa dakwaan tersebut merupakan satu usaha pembunuhan karakter berunsur jahat (mala fide) oleh pihak tertentu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan berlangsung.
Ekoran dakwaan yang dikeluarkan oleh pihak tersebut, beliau bersedia untuk menghadapi sebarang siasatan oleh pihak berkuasa.
Beliau menegaskan bahawa tiada apa yang disembunyikan, jadi sebarang siasatan ke atas beliau adalah dialu-alukan.
Selain itu, beliau juga berkata bahawa beliau akan sentiasa memperjuangkan pendidikan, nasib orang kelainan upaya (OKU), masyarakat miskin, kebajikan rakyat Simpang Renggam serta integriti negara.