PUTRAJAYA: Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Januari 2022 telah bersetuju untuk membenarkan semula aktiviti perjalanan umrah bagi Jemaah dari Malaysia bermula pada 8 Februari ini.
Menurut YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), sebanyak 8 sesi libat urus telah diadakan sejak Disember 2021 bagi tujuan ini dengan melibatkan syarikat pengendali umrah seperti Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji (PAPUH), The Malaysian Association of Tour & Travel Agents (MATTA).
Dalam pada itu, SOP perjalanan unrah yang telahpun diperhalusi MOTAC, KKM dan NADMA akan dibawa ke Mesyuarat Kuartet untuk kelulusan. Antara tumpuan yang diberikan pada Mesyuarat tersebut adalah;
- Memastikan jemaah lengkap vaksinasi dan mewajibkan dos penggalak demi keselamatan dan kesejahteraan jemaah;
- Setiap jemaah dilindungi oleh insurans yang memberikan perlindungan kesihatan termasuk keperluan rawatan, isolasi dan kuarantin bagi jangkitan COVID-19 semasa di Arab Saudi dan semasa pulang ke Malaysia; dan
- Syarikat pengendali umrah bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada jemaah mengenai tanggungjawab, tatacara, liabiliti dan arahan-arahan sepanjang perjalanan umrah jemaah.
YB Dato’ Sri Hajah Nancy pada satu kenyataan turut berkata, “adalah diharap bahawa keputusan ini akan disambut baik oleh syarikat pengendali umrah buat Keluarga Malaysia serta mengingatkan semua pihak untuk mematuhi SOP terbaru yang akan diumumkan kelak bagi mengekang penularan COVID-19”.
Terdahulu, penggangtungan sementara perjalanan menunaikan ibadah umrah telah dilaksanakan pada 8 Januari 2022 setelah menilai data penularan COVID-19 varian Omicron dalam kalangan jemaah yang pulang ke tanah air.