KUALA LUMPUR: Pada 26 Januari 2022, Majlis Tertinggi Parti Perikatan Nasional (PN) telah mengadakan sebuah mesyuarat yang dihadiri oleh wakil-wakil bagi parti anggota iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN).
Dalam mesyuarat tersebut mereka telah berbincang secara terperinci tentang situasi politik semasa serta kesiapsiagaan jentera parti untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan berlangsung.
Di samping itu, melalui mesyuarat tersebut juga PN telah sebulat suara bersetuju untuk melantik Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat iaitu YB Tuan Ahmad Fadhli Bin Shaari yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas sebagai Ketua Pemuda PN yang baharu.
Dalam mesyuarat yang sama, parti gabungan tersebut juga bersetuju untuk melantik YB Dr. Mohd. Yadzil Bin Yaakub sebagai Pengerusi PN Negeri Melaka yang baharu.
Beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban dan juga Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Melaka.
Kedua-dua pelantikan tersebut berkuat kuasa dengan serta merta setelah dipersetujui dalam mesyuarat yang telah diadakan.