ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. telah merangkul dua anugerah di Healthcare Asia Awards 2022 iaitu “Public-Private Healthcare Partnership of the Year – Malaysia” dan “Vaccination Delivery of the Year – Malaysia”.
Pencalonan tahun ini telah dipilih oleh panel hakim elit iaitu Chris Hardesty, Rakan Kongsi Pureland Venture; Partha Basumatary, Pengarah EY-Parthenon, Sains Hayat dan Penjagaan Kesihatan, Peneraju Strategi; dan Sarah Butler, Peneraju Perkhidmatan Global PwC.
Penerimaan anugerah tersebut telah menanda satu lagi pencapaian penting bagi ProtectHealth untuk menjadi peneraju dalam Kerjasama Awam-Swasta (PPP) dalam industri penjagaan kesihatan.
“Kami berterima kasih atas pengiktirafan berterusan ini yang menunjukkan salah satu komitmen ProtectHealth dalam sentiasa memenuhi matlamatnya dalam menjadi peneraju Kerjasama Awam-Swasta dalam industri kesihatan,” kata Dato’ Dr. Anas Alam Faizli, Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth.
Beliau turut menambah bahawa ProtectHealth telah menetapkan agenda sosialnya yang kukuh sebagai penyedia pembiayaan penjagaan kesihatan yang tidak berasaskan keuntungan.
Selain itu, ProtectHealth telah berjaya memperhebatkan agenda mereka dengan lebih banyak Kerjasama Awam-Swasta pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terbesar yang pernah wujud dalam sektor penjagaan kesihatan di Malaysia.
ProtectHealth yang merupakan anak syarikat milik penuh ProtectHealth Malaysia adalah pentadbir Skim Penjagaan Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).
Program anugerah disampaikan setiap tahun yang bertujuan untuk menghargai hospital, klinik dan penyedia penjagaan kesihatan lain telah berjaya memberi impak yang luar biasa dalam industri penjagaan kesihatan.