JEMPOL: Program Semarak Uniti Keluarga Malaysia Peringkat Parlimen Jempol telah dilancarkan oleh Menteri Perpaduan Negara YB Datuk Halimah binti Mohamed Sadique.
Majlis pelancaran program anjuran Kementerian Perpaduan Negara tersebut telah dilaksanakan di Dewan Feldajaya Selatan, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah YB Datuk Seri Haji Mohd Salim Bin Shariff, Ahli Parlimen Jempol; dan YBhg. Dato’ Indera Noridah Binti Abd Rahim, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara.
Program yang julung kalinya diadakan tersebut berlangsung selama dua hari iaitu pada 4 hingga 5 Jun 2022 dengan bertemakan “Merakyatkan Perpaduan Keluarga Malaysia”.
Menurut Kementerian Perpaduan Negara dalam sebuah kenyataan media, program tersebut merupakan sebuah platform Tapak Integrasi untuk membina dan menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, bangsa dan agama.
Program tersebut dianjurkan bagi menyokong Aspirasi Keluarga Malaysia yang berteraskan nilai-nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.
Selain itu, program tersebut dirangka selari dengan KAMI @Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 yang fokus akan empat dimensi utama iaitu Karib, Aksesibiliti, Majmuk dan Inklusiviti.
Antara pengisian program Semarak Uniti Keluarga Malaysia adalah KPN Prihatin Keluarga Malaysia; Sembang KAMI Keluarga Malaysia, pameran oleh agensi dan Komuniti Rukun Tetangga (KRT), Rumah KAMI Keluarga Malaysia, Rewang Muafakat Keluarga Malaysia, Sukan Keluarga Malaysia dan Citarasa Menu Keluarga Malaysia.
YB Datuk Halimah turut ke empat lokasi bagi menyampaikan 350 kotak RT Cares melalui program KPN Prihatin Keluarga Malaysia kepada penduduk di KRT Jambu Lapan, KRT Desa Penarikan dan KRT Satelite.
SUMBER FOTO: LAMAN FACEBOOK RASMI KEMENTERIAN PERPADUAN NEGARA