SEBERANG PERAI: Ekoran kejadian kebakaran yang berlaku di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal pada Rabu lalu, 10 buah sekolah telah diarahkan tutup.
Berdasarkan pemantauan yang dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang, didapati kualiti udara di beberapa kawasan berhampiran tapak pelupusan sampah tersebut boleh menjejaskan kesihatan.
Lantaran itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (JPBDSPS) menasihati Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang agar penutupan sekolah selama 3 hari dilaksanakan bermula 19 hingga 21 Januari 2022.
Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Phai Teik, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, SJKT Nibong Tebal, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sentosa, SK Keledang Jaya, SJKT Ladang Changkat, SMK Methodist, SK Methodist serta SK Nibong Tebal.
Selain itu, semua agensi kerajaan yang berada dalam daerah Seberang Perai Selatan juga dinasihatkan agar mengurangkan aktiviti serta kegiatan luar dalam tempoh yang sama.
Masyarakat setempat juga dinasihatkan untuk sentiasa memakai penutup muka dan segera mendapatkan rawatan jika mempunyai gejala-gejala seperti sesak nafas.
Terkini, dilaporkan usaha pemadaman api menggunakan kaedah pengeboman air dari udara akan dilaksanakan hari ini oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan menggunakan dua buah helikopter dari Unit Udara JBPM Subang dan Unit Udara JBPM Pulau Pinang.
SUMBER FOTO: LAMAN TWITTER RASMI DATO’ SERI TUAN IBRAHIM TUAN MAN (@titm_official)