PUTRAJAYA – Pembayaran Bantuan Khas COVID-19 (BKC) Fasa 2 akan dibuat bermula lusa , khamis , yang membabitkan peruntukan sebanyak RM300 juta .
Perdana Menteri Malaysia , Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob , berkata , peruntukan tersebut akan dapat memberi manfaat kepada 700,000 penerima termasuk isi rumah , individu bujang dan warga emas yang tergolong dalam kategori miskin .
Tegasnya , kerajaan sentiasa peka dengan keadaan negara , termasuklah keluh-kesah rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 , dan berharap pembayaran BKC ini mampu meringankan beban rakyat .
“Bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia , kerajaan juga akan terus komited memastikan bantuan yang disediakan dapat disalurkan secara berkesan ,” katanya .
Pada 28 Jun yang lalu , kerajaan telah mengumumkan beberapa bantuan yang disediakan kepada rakyat , termasuklah Pakej PEMULIH atas usaha untuk membantu mereka mengatasi kesan hidup akibat wabak COVID-19 ini .
Ismail Sabri berkata , pembayaran Fasa 1 BKC telah selesai dilaksanakan pada September yang lalu , dengan peruntukan sebanyak RM3.1 bilion yang dapat memberi manfaat kepada hampir 10 juta penerima .
Tambah beliau lagi , bayaran seterusnya bagi Fasa 3 akan diagihkan mengikut jadual yang telah ditetapkan iaitu pada bulan Disember ini , membabitkan peruntukan berjumlah RM1.2 bilion untuk 3.8 juta penerima isi rumah kategori miskin dan B40 .
“BKC adalah sebahagian daripada inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), selain bayaran tambahan kepada pakej rangsangan ekonomi ,” jelasnya .
Berdasarkan jadual yang dilampirkan , bayaran Fasa 2 hanya membabitkan kategori miskin , di mana sebanyak RM500 diberikan kepada isi rumah , manakala bagi individu bujang dan warga emas bujang atau tiada pasangan masing-masing menerima bantuan berjumlah RM300 .