KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan , Seni dan Budaya diarahkan oleh kabinet untuk menganjurkan pameran kerja dalam usaha untuk membantu golongan industri pelancongan berdepan cabaran kesan pandemik COVID-19 .
Datuk Seri Nancy Shukri , Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan turut menyatakan bahawa pameran ini bukan sahaja akan mengurangkan beban kakitangan sedia ada industri tersebut , malah ia juga membantu bekas kakitangan sektor perhotelan dan pelancongan yang terpaksa diberhentikan kerja .
Jelasnya , kabinet masih memberi perhatian dengan isu semasa , terutama isu pembuangan dan pemberhentian pekerja sektor pelancongan , terutama perhotelan .
“Isu mengenai bantuan kepada pekerja sektor perhotelan memang menjadi perhatian kita, namun kementerian tiada peruntukan melainkan dilulus Kementerian Kewangan ,” katanya .
Mengulas lanjut mengenai isu ini ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 Peringkat Jawatankuasa bagi MOTAC di Dewan Rakyat , hari ini , Nancy menjelaskan, bantuan kepada pekerja hotel diberikan melalui pemberian subsidi upah dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia .
“Bagi bantuan sekali bayar, memang ada kepada mereka daripada kumpulan B40 tetapi tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan ,” jelasnya .
Bukan itu sahaja , beliau turut memaklumkan buat masa ini , kementerian memang tidak melantik Timbalan Pengarah ketika mengulas cadangan berkenaan pengurangan kakitangan di pejabat Tourism Malaysia di luar negara kerana ingin menjimatkan kos .
“Semua pejabat Tourism Malaysia di luar negara kekal dengan seorang wakil secara ‘home-based’ yang terus menjalankan kerja mempromosikan produk pelancongan negara .
“Semua pejabat Tourism Malaysia meneruskan aktiviti promosi bagi menunjukkan komitmen jangka panjang MOTAC kepada rakan di luar negara bagi pembangunan industri ,” tambahnya lagi .