JOHANNESBURG: Saintis mengesan 22 kes yang dikaitkan dengan varian baharu COVID-19 di Afrika Selatan.
Varian yang dikenali sebagai B.1.1.529 itu mempunyai kadar mutasi yang sangat luar biasa yang mampu mengelak tindak balas imun badan dan menjadikannya lebih mudah berjangkit.
Pakar menyatakan, kajian awal di makmal mendapati varian tersebut telah menular dengan pantas di wilayah Gauteng yang turut melibatkan Johannesburg dan bandar Pretoria.
Malah pakar juga menyatakan varian baharu tersebut mempunyai potensi yang tinggi dan berkemungkinan telah merebak ke lapan (8) wilayah.
Antara kes varian baharu tersebut yang dikesan di luar Afrika Selatan ialah di Botswana dan Hong Kong yang dipercayai melibatkan pengembara dari Afrika Selatan.
Menteri Kesihatan, Joe Phaahla memaklumkan varian tersebut sebagai kebimbangan utama ketika ini.
Untuk rekod, jumlah jangkitan COVID-19 di Afrika Selatan meningkat kepada lebih 1,200 kes harian berbanding hanya lebih 100 kes awal bulan ini.
Bagaimanapun, kerajaan masih belum membuat keputusan untuk melaksanakan sekatan.