13 Jun 2022: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menimbulkan rasa kecewa di atas kegagalan Kerajaan memanggil sidang khas Dewan Rakyat khusus untuk membentang Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti seperti yang dimaklumkan sebelum ini.
Pakatan Harapan menerusi kenyataan berkata, “Pakatan Harapan berharap RUU tersebut akan dapat dibentang, dibahas dan diluluskan pada minggu pertama sidang Dewan Rakyat 18 Julai ini.
“Dengan meluluskan RUU ini, maka 15 dari 18 Perkara dalam Memorandum Persedahaman (MoU) di antara Pakatan Harapan dan Kerajaan Persekutuan akan tercapai, bersamaan dengan 83 peratus,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Pakatan Harapan turut menegaskan terdapat Tiga Perkara MoU yang masih perlu dilaksana iaitu menetapkan had 2 penggal atau 10 tahun bagi Perdana Menteri. Membentang RUU Perkhidmatan Parlimen, dan meminda Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Oleh itu, pimpinan utama Pakatan Harapan akan mengadakan pertemuan segera dengan Perdana Menteri bagi membincang RUU Anti Lompat Parti serta Perkara-Perkara di atas,” ujar Pakatan Harapan.