PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengumumkan pelantikan semula seorang anggota dan pelantikan dua anggota baharu bagi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Suruhanjaya).
Pelantikan semula Datuk Seri Long See Wool yang telah berkhidmat lebih 34 tahun untuk MOT dan pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Setiausaha di MOT berkuatkuasa bermula 1 Mac 2022 sehingga 28 Februari 2025.
MOT turut mengalu-alukan dua pemimpin profesional yang berpengalaman tinggi sebagai anggota (Suruhanjaya) iaitu Datuk Roger Tan Kor Mee dan Dato’ Wan Kamaruzaman Bin Wan Ahmad.
Datuk Roger merupakan peneraju Tetuan Roger Tan & Partners (RTNP) dan beliau juga merupakan ahli Majlis Peguam di samping pernah berkhidmat dalam suatu tempoh yang lama sebagai perunding luar untuk Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan.
Bagi Dato’ Wan Kamaruzaman pula, beliau pernah berkhidmat sebagai ahli Lembaga pengarah untuk beberapa entiti korporat utama di Malaysia serta pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] dan kini beliau merupakan salah seorang anggota Panel Pelaburan bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pelantikan kedua-dua anggota baharu Suruhanjaya ini berkuatkuasa dari 8 Jun 2022 sehingga 7 Jun 2025.