KUALA LUMPUR – Peruntukan dana sebanyak RM1 Bilion bagi membantu keluarga yang tergolongan dalam golongan miskin tegar telah diluluskan oleh Kerajaan , menerusi Bajet 2022 .
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed , berkata agihan dana ini telah dipersetujui sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum dinyatakan di dalam Bajet 2022 .
“Oleh kerana kita tidak ada peruntukan khusus bagi menangani miskin tegar, keputusan sudah dibuat dan agihannya tertakluk kepada kelulusan Perdana Menteri .
“Jadi, agihannya ialah sebanyak RM500 juta untuk membiayai projek program membasmi miskin tegar di seluruh negara . Setiap negeri akan dikenal pasti berdasarkan lokaliti supaya usaha dijalankan lebih bersasar ,” katanya .
Bagi melaksanakan usaha ini , pihaknya telah mengambil pendekatan holistik dan penglibatan secara menyeluruh oleh pelbagai pihak di bawah agensi kerajaan , termasuklah universiti , korporat dan badan-badan lain .
Kenyataan ini dikeluarkan oleh beliau ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat , hari ini .
Tambahnya , Sabah dan Sarawak akan mendapatkan jumlah peruntukan lebih berbanding negeri-negeri lain , memandangkan saiz negeri berkenaan lebih besar dalam usaha untuk membasmi golongan keluarga miskin tegar .
Bukan itu sahaja , peruntukan sebanyak RM350 juta turut disediakan untuk melaksanakan projek yang tidak tersenarai tahun depan , iaitu projek kritikal dan berimpak tinggi .
“Kita juga akan melaksanakan projek kecil berimpak tinggi, khususnya di kawasan FELDA. Semua ini agihan untuk tahun depan ,” katanya lagi .