KUCHING: Sebanyak 85 pusat mengundi awal dibuka seawal jam 7:30 pagi hingga 5 petang bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.
Antara pusat mengundi yang dibuka ialah Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPK) Sarawak dan Dewan Badminton Kompleks Kediaman Balai Polis Tabuan Jaya.

Seramai 23,043 pengundi dijangka untuk membuang undi pada hari ini dan mereka terdiri daripada 12,585 anggota serta pegawai tentera dan pasangan manakala selebihnya merupakan anggota dan pegawai polis serta pasangan.
Pengundian awal PRN Sarawak yang berlangsung pada hari ini melibatkan 69 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan antaranya ialah Satok, Padungan dan Pantai Damai.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bahawa sebanyak 17 peratus pengundi awal telah membuang undi setakat jam 9 pagi tadi dan kadar peratusan melonjak naik kepada 67 peratus setakat jam 12 tengah hari.
Meskipun ramai pengundi awal yang hadir ke pusat-pusat mengundi, prosedur operasi standard (SOP) masih dijaga dan proses sanitasi dilakukan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setiap dua jam seawal jam 6 pagi tadi.

Khemah khas untuk proses pemeriksaan suhu dan saluran mengundi turut disediakan dan pengundi yang bergejala boleh menjalankan proses membuang undi di khemah khas yang menempatkan petugas-petugas KKM.
SUMBER FOTO: TWITTER MOHD SHAFIK AHMAD (@mshafikahmad)