PONTIAN: Parti Warisan Sabah (WARISAN) bakal membuat keputusan berkenaan penyertaan parti tersebut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang dalam masa terdekat.
Menurut Naib Presiden parti tersebut iaitu Datuk Junz Wong, keputusan parti itu untuk menyertai PRN Johor akan diumumkan oleh Presiden parti tersebut, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Beliau berkata bahawa keputusan tersebut akan diumumkan setelah Presiden parti tersebut menilai laporan penilaian yang beliau sediakan.
“Parti WARISAN bakal mengadakan satu majlis pelancaran parti di Johor pada 15 Februari ini dan satu pengumuman besar bakal dibuat,” kata Naib Presiden parti itu.
WARISAN yang kini memiliki 85 cawangann di seluruh Semenanjung dengan lebih 20,000 ahli sedang giat meningkatkan jumlah ahli di semua negeri terutamanya di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Johor.
Berkenaan jumlah kerusi yang bakal ditandingi, Ketua Wira Parti WARISAN, Datuk Mohd Azis Jamman berkata bahawa jumlah kerusi yang bakal ditandingi adalah realistik dengan mengambil kira status parti tersebut yang masih lagi baru dalam melebarkan sayapnya ke Semenanjung.
Beliau juga menambah bahawa parti tersebut pasti bekerjasama dengan parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan beliau yakin bahawa kerusi yang ditandingi oleh MUDA adalah lebih banyak.
Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa tujuan WARISAN menyertai PRN Johor dengan kerjasama MUDA adalah untuk memberi pilihan kepada pengundi yang sudah muak dengan ketidakstabilan dan kekeliruan yang tercetus daripada perkembangan politik semasa.