7 Februari 2022: Masjid Al-Mustaqim Taman Nirwana Ampang menerusi satu kenyataan menjelaskan bahawa pengurusan masjid telah memperuntukkan saf hadapan untuk tiga (3) orang imam, dua (2) orang bilal dan VIP (penceramah).
Menurut pengurusan masjid lagi, Imam dan bilal itu juga adalah sebahagian Ahli Jawatankuasa (AJK) masij yang bertugas bagi memastikan kelandaran Jemaah supaya mematuhi garis panduan serta SOP seperti ditetapkan pihak berkuasa.
Situasi ini adalah merujuk kepada hantaran Facebook Abu Al Zahra pada 4 Februari 2022 yang tular berkaitan isu saf hadapan solat fardhu Jumaat.
“Untuk makluman semua, jika AJK terlibat gagal memenuhi ruang hadapan selepas azan pertama disebabkan terdapat perkara yang tidak dapat dielakkan, Jemaah lain boleh maju ke hadapan bagi memenuhi saf tersebut.
“Besar harapan kami agar semua pihak mendapatkan kesahihan sesuatu isu terlebih dahulu sebelum membuat sebaran di media sosial”, menurut kenyataan itu.
Pihak pengurusan masjid turut berharap dengan kenyataan rasmi tersebut dapat menjelaskan keadaan yang sebenar dan tidak mengeruhkan lagi isu tersebut selain turut memohon maaf di atas salah faham yang berlaku dalam hal ini.