

KUALA LUMPUR 7 Disember 2025 – Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), yang merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi berteraskan bidang seni, budaya dan warisan di bawah Kementerian
Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) hari ini telah mengadakan Istiadat Konvokesyen ASWARA kali ke – 20 bertempat di Panggung Eksperimen,
ASWARA. Istiadat berprestij ini merupakan pengiktirafan ke atas kejayaan para graduan menamatkan pengajian mereka dalam bidang seni, budaya dan warisan bagi Fakulti Muzik, Fakulti Tari, Fakulti Teater, Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem,
Fakulti Animasi dan Multimedia, Fakulti Seni Halus, Fakulti Pengurusan Seni, Budaya dan Warisan, Pusat Pengajian Pasca Siswazah dan Pusat Pengajian Asasi Seni Kreatif. Istiadat Konvokesyen ini disempurnakan oleh YB Dato Sri
Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.
Pada Istiadat Konvokesyen ini, penyampaian penganugerahan kepada penerima Ijazah Kedoktoran Seni Kreatif, Ijazah Sarjana Seni Kreatif, Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian, Diploma dan Asasi Seni Kreatif iaitu seramai 340 orang graduan secara keseluruhannya. Seramai 4 orang graduan telah dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Seni Kreatif dan 2 orang graduan bagi Ijazah Sarjana Seni Kreatif,manakala bagi Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian adalah seramai 141 orang graduan. Bagi penganugerahan diploma adalah seramai 135 orang graduan dan penganugerahan pengajian Asasi Seni Kreatif adalah seramai 58 orang kesemuanya.


Lebih membanggakan, istiadat konvokesyen ASWARA kali ini turut menganugerahkan Anugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif kepada figura serba boleh yang dikenali sebagai pengarah animasi, penulis dan pengarah filem iaitu Encik Hassan Abd Muthalib.
Selain itu, ASWARA turut meraikan penganugerahan gelaran Adiguru kepada seramai 8 orang tokoh seni yang telah memberikan sumbangan besar dalam pengembangan dan penghayatan seni budaya negara. Pengiktirafan ini bukan sahaja menzahirkan penghormatan tertinggi atas jasa dan kepakaran mereka, malah menjadi inspirasi kepada generasi baharu dalam meneruskan kesinambungan warisan seni tanah air.


Dalam majlis yang penuh bermakna ini juga, turut diraikan adalah penerima Anugerah Emas Rektor, iaitu pengiktirafan tertinggi yang diberikan kepada graduan yang mencapai prestasi akademik cemerlang serta menunjukkan komitmen dan disiplin yang luar biasa sepanjang pengajian. Anugerah ini menjadi
simbol kecemerlangan graduan ASWARA yang terus menyerlah sebagai pelapis industri seni negara. Anugerah Emas Rektor ini telah dianugerahkan kepada 2 orang graduan iaitu Nurasni Afiqah binti Kamarulnizam, graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Visual dengan Kepujian daripada Fakulti Seni Halus dan Lee Yong Shan, graduan Diploma Seni Tari daripada Fakulti Tari.


ASWARA berharap dengan penganjuran Istiadat Konvokesyen ke – 20 ini, para graduan ASWARA akan terus melakar kejayaan di dalam lapangan seni, budaya pdan warisan negara selaras dengan aspirasi ASWARA untuk melahirkan karyawan dan seniman yang bukan sahaja cemerlang dalam pencapaian akademik, malah cemerlang secara holistik dan seimbang dalam segenap aspek.
Semoga kejayaan para graduan ASWARA pada hari ini menjadi pemangkin untuk menyumbang kepada pembentukan masyarakat dan pembinaan tamadun manusia yang menjunjung tinggi nilai seni, budaya dan warisan.





