
Kuala Lumpur 9 Disember 2025: Duta Jenama Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia, (MYMT) 2026, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menyatakan komitmen penuhnya untuk mempromosikan kehebatan perubatan Malaysia pada peringkat antarabangsa melalui pelbagai platform media dan penampilan rasminya.
Sejak dilantik pada Julai lalu, usaha promosi katanya, telah digerakkan melalui penerbitan video, perkongsian maklumat serta hebahan positif mengenai keupayaan hospital dan kepakaran perubatan negara.

“Saya berharap sebagai orang yang dikenali di Malaysia, Indonesia dan Singapura, saya turut membantu memperluaskan capaian kempen promosi MYMT melalui platform-platform media dan kemunculan ini.
“Ramai peminat serta kenalan luar negara juga sering bertanyakan pandangan mengenai hospital swasta tempatan termasuk mereka yang datang hanya untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Hospital Pelancongan Perubatan Utama Malaysia 2025 di Damansara, Kuala Lumpur.

Penyanyi wanita popular negara yang turut mesra dipanggl Tokti ini menyifatkan perkembangan berkenaan sebagai bukti kukuh bahawa Malaysia semakin diiktiraf sebagai destinasi rawatan dan pelancongan yang dipercayai.
Mengulas rawatan popular yang menjadi tumpuan pelancong kesihatan, Siti Nurhaliza berkata, Malaysia menawarkan kepakaran bertaraf dunia khususnya dalam rawatan jantung, kanser dan persenyawaan in-vitro atau bayi tabung uji (IVF).
Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi menjalani proses IVF yang menjadikannya rujukan ramai wanita dari Malaysia dan Indonesia yang memerlukan panduan mengenai rawatan kesuburan.
Lawatan ke beberapa hospital terkemuka di Malaysia katanya, telah membuka mata mengenai keluasan kepakaran dan teknologi yang ditawarkan malah mendorongnya berkongsi maklumat dengan mereka yang memerlukan rawatan khusus.

Mengulas mengenai MYMT 2026, Siti Nurhaliza menyeru rakyat Malaysia turut menyokong kempen promosinya kerana mampu memberikan impak langsung kepada ekonomi negara.
Selain rawatan perubatan, kecantikan, penjagaan kesihatan dan gaya hidup sihat kini mendapat permintaan tinggi pelancong global yang menjadikan Malaysia berpotensi besar muncul sebagai hab serantau.
“Kalau kita sendiri tidak menyokong industri kesihatan negara, siapa lagi?
“Saya juga yakin Malaysia mampu menjadi pusat rawatan dan hab terbaik dunia melalui gabungan kepakaran, destinasi menarik dan tawaran pelancongan bertaraf antarabangsa,” katanya.



