Istana Budaya melalui Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) bakal mempersembahkan ‘Konsert Lagu Rakyat’ yang diisikan dengan lagu-lagu rakyat pada 25 dan 26 Mac 2022 jam 8:00 malam di Panggung Sari, Istana Budaya.
Konsert yang bakal diadakan tersebut akan menampilkan beberapa artis ternama tanah air iaitu Dato’ Zainal Abidin, Bunga, Azizul Haqim, Hazra Dollah, Roslan Madun, Floor 88, Jatt Aziz dan penampilan kumpulan Mah Meri.
Bagi menarik minat pendengar tanpa mengabaikan ciri-ciri keaslian dan artistik, konsert selama sejam setengah ini bakal disuntik dengan nafas baharu dan segar pada setiap gubahan lagu yang akan diperdengarkan kepada penonton.
Antara beberapa artis terkenal tanah air yang bakal membuat persembahan pada Konsert Lagu Rakyat
Sementara itu, OTM terdahulu telah melakar nama dalam industri muzik tanah air melalui penyampaian lagu-lagu tradisional dengan harapan untuk bersama-sama memupuk dan memperkukuhkan semangat Keluarga Malaysia.
En Yazid Zakaria, Konduktor dan Pengarah Muzik OTM juga pernah menyatakan Hasrat untuk menjadikan OTM sebagau salah sebuah rujukan subjek lagu-lagu asli dan tradisional kepada anak muda yang berminat dalam genre tersebut.
Antara beberapa artis terkenal tanah air yang bakal membuat persembahan pada Konsert Lagu Rakyat
Pada masa sama, beliau turut mengalu-alukan para pelajar sekolah serta universiti untuk mendapatkan ilham dan pandangan daripada pemuzik OTM kerana dengan adanya interaksi sebegini, perasaan cinta masyarakat terhadap komposisi lagu dan muzik tempatan terutamanya genre tradisional pastinya akan tersemai.
Bagi orang ramai yang berminat untuk menyertai ‘Konsert Lagu Rakyat’ ini, tiket konsert boleh ditempah di laman web Istana Budaya www.istanabudaya.gov.my dengan harga RM88.00, RM89.00, RM108.00, RM158.00 dan terdapat penawaran diskaun sebanyak 10% untuk tempahan awal (early bird) bermula dari 28 Februari hingga 11 Mac.