Jawatankuasa Road To Gold (RTG) telah bermesyuarat pada hari ini untuk membincangkan perkembangan dan rancangan masa depan program itu ketika Sukan Olimpik Paris semakin hampir.
Mesyuarat yang dipengerusikan bersama oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan dan Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Norza Zakaria, Presiden Majlis Olimpik Malaysia. Mesyuarat turut dihadiri oleh semua ahli jawatankuasa termasuk Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, Chef de Mission Olimpik Paris dan Datuk Nicol David, Timbalan Chef de Mission.
Jawatankuasa RTG membincangkan beberapa agenda dalam mesyuarat tersebut termasuk:
1) Keseluruhan operasi dan perbelanjaan program RTG (2023-2024);
2) Semakan atlet RTG sedia ada;
3) Khidmat sokongan kepada setiap atlet RTG dan persatuan;
4) Pelaksanaan Team MAS House pertama di Sukan Olimpik Paris; dan
5) Program fast track RTG.