KUALA LUMPUR, 28 APRIL 2025 – Pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah
Persekutuan (FELDA) memaklumkan bahawa Pelan Strategik Dan Hala Tuju
Kumpulan FELDA 2025-2030 telah diserahkan sebagaimana disarankan oleh YAB
Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri semasa Majlis Berbuka Puasa bersama
warga FELDA pada 26 Mac lalu. Pelan ini menggariskan strategi utama dan pelan
tindakan Kumpulan FELDA, bertujuan memperkukuh kedudukan organisasi sebagai
pemangkin ekonomi negara khususnya luar bandar.
Pengurusan Kumpulan FELDA komited memastikan Pelan Strategik Dan Hala Tuju ini
dilaksanakan dengan penuh dedikasi demi membentuk ekosistem yang terampil untuk
semua pemegang taruhnya. Tanggungjawab ini memerlukan usaha berterusan dan
sokongan padu daripada semua pihak bagi memastikan kesejahteraan dan kemajuan
Kumpulan FELDA terus diperkukuh.
Pelan Strategik Dan Hala Tuju Kumpulan FELDA ini telah dirangka secara terperinci
menerusi enam sesi libat urus bersama pelbagai pemegang taruh. Pelan ini memberi
tumpuan kepada inisiatif-inisiatif strategik dalam pelbagai bidang. Dengan
penyerahan pelan ini, Pengurusan Kumpulan FELDA menzahirkan komitmen dan
kesungguhan dalam melaksanakan setiap strategi yang digariskan demi menjayakan
aspirasi masa depan FELDA yang lebih berdaya saing.
JABATAN KOMUNIKASI STRATEGIK FELDA
28 APRIL 2025