29 NOVEMBER 2021: Persidangan hari pertama Dewan Negeri Selangor memperlihatkan soalan-soalan berkaitan kemeriahan masjid dan surau dilontarkan kepada ADUN N49 Sungai Kandis, Y.B. Tuan Mohd Zawawi bin Ahmad Mughni.
ADUN N02 Sabak, Y.B. Tuan Ahmad Mustain bin Othman bertanyakan tentang langkah-langkah yang diambil untuk mengimarahkan kembali masjid dan surau selepas pasca COVID-19.
Menurut Y.B. Tuan Mohd Zawawi Mughni, beliau berkatakan masjid dan surau di Negeri Selangor telah diimarahkan kembali sebaik sahaja Negeri Selangor diisytiharkan memasuki Fasa ke Empat (4) Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Kata beliau lagi, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengeluarkan ketetapan bertarikh 1 November 2021 yang memberi peluasan untuk pelaksanaan-pelaksanaan setelah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Antara pelaksanaan tersebut adalah:-
- i Pertambahan bilangan Jemaah Solat Fardhu Jumaat dan Solat Fardhu Lima (5) Waktu dengan penjarakan 1.5 meter.
- ii Aktiviti pengimarahan masjid seperti kuliah, tazkirah, kuliah dhuha, kelas Al-Quran, kuliah muslimat, forum, daurah berkitab, halaqah, diskusi, ceramah perdana, kelas pengajian bersijil, aktiviti kursus dan Latihan serta Kelas KAFA.
- iii Pengoperasian semula kiosk-kiosk dan aktiviti yang mampu menjana ekonomi di awasan masjid dan surau.
- iv Majlis akad nikah.
- v Pengoperasian semula kiosk-kiosk atau gerai yang mampu menjana pendapatan masjid, dan
- vi Pelaksanaan Mesyuarat Jawatankuasa Berkala dan Mesyuarat Agung Tahunan Masjid dan Surau.
Selain itu, ADUN N51 Sijangkang, Y.B. Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi turut melontarkan soalan tambahan berkaitan pelaksanaan aktiviti pencegahan COVID-19 oleh pihak masjid dan surau.
“Pihak masjid dan surau turut memberikan penerangan tentang COVID-19 selain menyediakan bakul-bakul makanan kepada yang memerlukan. Selain itu, aktiviti masjid dan surau turut menyediakan program secara dalam talian dan lain-lain,” balas ADUN N49 Sungai Kandis, Y.B. Tuan Mohd Zawawi Mughni.