KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan jualan tiket perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Intercity bermula 5 Januari 2022 bagi perjalanan 15 Januari hingga 30 Jun 2022 dengan menggunakan jadual waktu baharu.
Jadual waktu baharu melibatkan penambahan 32 perkhidmatan ETS dan 20 perkhidmatan KTM Intercity berserta 2 laluan baharu iaitu Gemas – Gua Musang – Gemas dan Gemas – Kuala Lipis – Gemas menggunakan perkhidmatan tren Diesel Multiple Unit (DMU).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin, jualan tiket dibuka untuk tempoh enam bulan akan datang bagi membolehkan orang ramai membuat persiapan awal terutamanya mereka yang akan menyambut perayaan seperti Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri, pulang ke kampung dan juga merancang untuk bercuti.
Pihak KTMB menyarankan pengguna untuk membeli tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau menerusi laman sesawang KTMB.
Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200 atau melayari saluran media baharu rasmi KTMB.