27 Disember 2021: Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) merupakan agensi Kerajaan yang menguatkuasakan Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] Dan Peraturan-Peraturan. Pesuruhjaya Pelancongan melalui punca kuasa di bawah Seksyen 4, Akta 482 Dan Peraturan-Peraturan bertanggungjawab bagi penyeliaan am ke atas segala perkara berhubung Akta 482.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) bersetuju melanjutkan tempoh kelonggaran syarat bagi syarikat pengendali pelancongan yang dilesenkan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] mulai 1 Januari 2022 hingga 30 Jun 2022 bagi kelonggaran seperti berikut:
- i Pelanjutan kelonggaran dari segi keluasan premis bagi syarikat pengendali pelancongan;
- ii Pelanjutan kebenaran untuk menjalankan perniagaan lain dalam premis syarikat pengendali pelancongan; dan
- iii Pelanjutan tempoh penyewaan premis perniagaan secara co-share office space.
MOTAC berharap kelonggaran syarat tersebut sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban dari masalah yang dihadapi oleh syarikat pengusahaan pelancongan yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19.
Dalam pada itu, kelonggaran ini juga dijangka memberi manfaat kepada seramai 5,467 pengusaha pelancongan yang berlesen yang menjalankan perniagaan agensi pengembaraan.