KUALA LUMPUR, 6 Feb – Bulan ramadan yang bakal tiba pertengahan Mac depan membuka ruang buat penggiat seni tanah air khususnya golongan veteran mengembangkan perniagaan menerusi penganjuran Grand Bazar Megaraya 2.0 di Seri Manjung, Perak.
Menurut pelakon veteran, Kamariah Mohamad Arshad, 57, program tersebut mampu menjadi platform untuk golongan tersebut menjana pendapatan tambahan selain meneroka pengalaman baharu.
“Ini juga merupakan peluang keemasan buat kami penggiat seni mendekatkan diri semula dengan peminat selain dapat menjual semula pakaian yang pernah dipakai dalam lakonan sebagai kenangan buat peminat,” katanya ketika Sidang Media Pelancaran Grand Bazar Megaraya 2.0, di Datum Jelatek hari ini.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Kay Maria dalam kalangan peminat juga berhasrat untuk menjual makanan yang membolehkannya mempromosikan negeri itu sempena Tahun Melawat Perak 2024.
Penganjur program itu Kenny Teh berkata bazar tersebut bakal berlangsung pada 16 Mac hingga 9 April ini di D’MK-Dataran Manjung Musang King, pada 2 petang hingga 12.30 malam serta melibatkan 105 tapak perniagaan.
“Bazar berkonsepkan ‘Raya Glam Bersama Selebriti’ itu dijangka dimeriahkan 100,000 pengunjung dengan pelbagai jualan seperti pakaian, aksesori, produk kecantikan, makanan, serta automobil,” katanya.
Antara artis terlibat adalah Aznah Hamid, Kay Maria, Aida Aris, Zazil Baginda, Amai Kamarudin, Syed Ali dan pempengaruh media sosial.