KAJANG: MEATECH Creative Academy dengan kerjasama Human Resource Development Corporation (HRD Corp) di bawah program Recognition of Prior Experiential Learning (RPEL) mengiktiraf pengalaman calon melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).
Program tersebut dipersijilkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia dan telah dijalankan pada tahun 2020 di mana seramai 85 orang calon industri kreatif berminat mengikuti program tersebut.
Penganugerahan Sijil dan Diploma Kemahiran Malaysia ini mengiktiraf pengalaman penggiat industri kreatif selain meningkatkan imej industri kreatif Malaysia dengan penambahan bilangan tenaga mahir negara yang dipersijilkan oleh JPK.
Terdapat seramai 101 orang graduan yang terlibat dalam Majlis Konvokesyen MEATECH 2022 kali ke-5 di mana 45 daripada mereka merupakan graduan RPEL dan selebihnya merupakan pelajar MEATECH.
Antara penggiat industri kreatif yang terlibat adalah Fauziah Nawi, Dato’ Zulkifli M. Osman, Eoon Shuhaini, Razali Hussain, Rina Khan, Adam Hamid, Abby Saiful dan ramai lagi.
Majlis konvokesyen tersebut diadakan pada 25 Februari 2022 (Jumaat) secara fizikal di Dewan Besar Kampo Pusat Belia Antarabangsa Cheras dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.
En Syirfan Indra Mitra Surya bin Hussin, Timbalan Ketua Pengarah (Produksi dan Teknikal) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah menyempurnakan majlis konvokesyen tersebut, mewakili YB Datuk Zahidi bin Zainul Abidin yang merupakan Timbalan Menteri Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).
Menurut En Mohd Zaharizan bin Abdul Mubin, Ketua Pegawai Operasi, penganjuran majlis konvokesyen buat julung kalinya pada tahun ini dapat meraikan penggiat seni dan mengangkat persijilan kemahiran Malaysia kepada penggiat industri kreatif secara meluas.
Beliau turut berkata bahawa walaupun penetapan SOP tidak mengizinkan ahli keluarga graduan untuk bersama meraikan kejayaan mereka di dewan tersebut, mereka masih boleh menonton majlis konvokesyen tersebut secara langsung melalui Facebook, Instagram dan Youtube rasmi MEATECH Creative Academy.
MEATEACH Creative Academy merupakan sebuah institut Latihan kemahiran di bawah JPK yang mengetengahkan bidang pengajian Media Kreatif seperti Produksi Video Filem (Digital Media), Senireka Grafik (Digital Graphic Design) dan Multimedia Interaktif (Creative Multimedia Designer).
Selain itu, MEATECH Creative Academy juga merupakan sebuah pusat bertauliah yang berdaftar di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) sebagai agensi utama penyaluran pinjaman Latihan kemahiran kepada pelajar sepenuh masa.