10 Mei 2022: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan Monsun Barat Daya akan bermula pada 14 Mei 2022 dan akan berterusan sehingga pertengahan September 2022.
Ketua Pengarah MET Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini.
Bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi.
Malah, dalam tempoh Monsun Barat Daya juga fenomena jerebu boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal terutamanya semasa Ogos hingga Oktober.
“Oleh itu, pembakaran terbuka haruslah dielakkan bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar,” menurut kenyataan itu.
Segala maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial dan Hotline Jabatan Meteorologi Malaysia 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.