11 Mac 2022: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan Fasa Peralihan Monsun akan bermula pada 14 Mac 2022 dan berterusan sehingga pertengahan Mei 2022.
Permulaan fasa ini menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut yang telah bermula sejak 3 November 2021.
Menurut Ketua Pengarah MET Malaysia, Muhammad Helmi Bin Abdullah memaklumkan semasa Fasa Peralihan Monsun ini berlaku, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir beserta hujan lebat dan angin kencang.
“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah dan tengah Sarawak.
“Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh”, katanya.
Sementara itu, Met Malaysia meminta orang ramai untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.
Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Kementerian Alam Sekitar dan Air