KUALA LUMPUR: Malaysia bersama 53 negara anggota Komanwel yang lain meraikan Hari Komanwel pada hari ini.
Hari Komanwel disambut setiap tahun pada Isnin minggu kedua Mac bagi meraikan jalinan persamaan, ikatan persahabatan dan sumbangan Komanwel dalam mewujudkan keamanan dan keharmonian.
Menurut kenyataan Wisma Putra hari ini, tema untuk Hari Komanwel tahun ini lebih menumpukan pada Mesyuarat Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2022 iaitu ‘Delivering a Common Future: Connecting, Innovating, Transforming.
Ia berhasrat untuk mentransformasikan seluruh Komanwel menjadi masyarakat yang bertunjangkan nilai-nilai demokrasi, multilateralisme dan pembangunan mampan.
Untuk rekod, Komanwel telah ditubuhkan pada tahun 1949 dan Malaysia telah menjadi ahli pada tahun 1957.
Menurut kenyataan, Malaysia telah menjadi tuan rumah bagi CHOGM ke-11 pada tahun 1989.
Semasa sidang kemuncak itu, pemimpin telah memperakui Langkawi Declaration on the Environment di mana ia adalah dokumen penting bagi negara anggota untuk mengukuhkan Kerjasama dalam menangani isu alam sekitar.
Malaysia juga telah mendapat keistimewaan untuk menjadi negara Asia pertama dalam menganjurkan Sukan Komanwel pada tahun 1998.
Sementara itu, Malaysia mengalu-alukan penganjuran CHOGM Ke-26 di Kigali, Republik Rwanda pada Jun 2022.
Ketika sidang kemuncak tersebut, Ketua-ketua Kerajaan dijangka membincangkan isu-isu kepentingan bersama berkaitan pemulihan ekonomi pasca pandemik, akses kepada bekalan vaksin Covid-19 secara adil, selamat dan berpatutan, isu alam sekitar dan pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan 2030.