KUALA LUMPUR: YBhg. Profesor Dato’ Dr. Aishah Bidin dilantik sebagai Wakil Malaysia yang baru ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) bagi penggal 2022-2024.
Pelantikan beliau sekali gus menggantikan Encik Eric Paulsen sebagai Wakil Malaysia ke AICHR yang telah berkhidmat selama tiga tahun dari 2019-2021.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menerusi kenyataan berkata, pelantikan Aishah dibuat atas pengalaman yang luas dalam bidang hak asasi manusia.
“Kerajaan yakin bahawa Profesor Dato’ Dr. Aishah Bidin mampu menggalas tugas dan tanggungjawab dalam mempertahankan dan mempromosi kepentingan Malaysia berhubung isu-isu hak asasi amnusia AICHR”, Katanya.
Menurut Datuk Seri Saifuddin lagi, pelantikan Profesor Dato’ Dr. Aishah Bidin merupakan manifestasi iltizam Kerajaan yang jelas dalam mempromosi serta melindungi isu-isu hak asasi manusia dan kebebasan asas dalam agenda utama ASEAN menerusi AICHR.
Dalam masa sama, beliau menerusi kenyataan turut merakamkan penghargaan kepada Encik Eric Paulsen di atas perkhidmatan dan dedikasi beliau selama tiga tahun yang lalu.
Profesor Dato’ Dr. Aishah Bidin merupakan Felo dan Profesor Undang-Undang Korporat dan Insolvensi di Akademi Sains Malaysia selain merupakan mantan Profesor Undang-undang Korporat dan Insolvensi di Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Selain itu, beliau juga mantan Pesuruhjaya di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang bertanggungjawab ke atas portfolio Perniagaan dan Hak Asasi Manusia.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai ahli Jawatankuasa bagi Jawatankuasa Pembaharuan Undang-undang Korporat Malaysia (CLRC), ahli Jawatankuasa Semakan Undang-undang Kebankrapan dan Insolvensi Korporat Malaysia di bawah Jabatan Insolvensi, Jabatan Perdana Menteri, serta sebagai mantan Dekan Fakulti Undang-Undang UKM dan mantan penasihat undang-undang UKM Holdings.
“Dengan pengalaman luas yang beliau miliki, Kerajaan yakin beliau mampu menggalas tugas dan tanggungjawab dalam mempertahankan dan mempromosi kepentingan Malaysia berhubung isu-isu hak asasi manusia melalui AICHR”, kata Datuk Seri Saifuddin menerusi kenyataan.
AICHR yang ditubuhkan pada tahun 2009 di bawah Artikel 14, Piagam ASEAN merupakan sebuah badan antara kerajaan yang bertanggungjawab secara langsung kepada Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN, dan memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju kerjasama hak asasi manusia dengan organ-organ ASEAN yang lain.