KUALA LUMPUR: Satu kemalangan melibatkan sebuah lori dan sebuah Myvi telah berlaku di KM 36.2 arah timur (Gombak-Genting Sempah) telah menyebabkan trafik menjadi perlahan sepanjang 2 kilometer.
Pasukan Bomba dan Penyelamat yang berada di lokasi telah mengeluarkan mangsa daripada kenderaan yang terlibat manakala petugas ANIH Berhad (ANIH) membantu memastikan aliran trafik tidak mengganggu proses menyelamatkan mangsa.
Dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan oleh ANIH, pihak mereka menyatakan bahawa punca kemalangan masih lagi disiasat.
“Hanya laluan kanan dibuka untuk pengguna demi memudahkan tugas menyelamat oleh pasukan Bomba. Namun Anih ingin menasihatkan semua pengguna untuk mematuhi arahan petugas-petugas kecemasan di lokasi dan memandu secara berhemah dan berhari-hati apabila melalui kawasan terbabit,” kata Ketua Pengarah Besar Kanan, Ketua ANIH Berhad, Puan Radzimah Mohd Radzi.

Pada jam 4:50 petang tadi, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) melaporkan bahawa kesemua lorong telah dibuka namun trafik masih lagi perlahan.
Bagi maklumat lanjut berkaitan trafik, maklumat boleh didapati di laman sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM)/ANIH Berhad (ANIH) di Twitter (@LLMTrafik, @LPTTrafik) dan Facebook (@Lembaga Lebuhraya Malaysia, @Lebuhraya Pantai Timur).
Pengguna jalan raya juga boleh menghubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT-Line di 1-700-818-700.
SUMBER FOTO: LAMAN TWITTER RASMI LEBUHRAYA PANTAI TIMUR (@LPTTRAFIK)