KUBANG PASU: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi satu kenyataan mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar Semester 4, Vinosiny A/P R.Sivakumar yang meninggal dunia, baru-baru ini.
Menterinya, Dr. Noraini Ahmad berkata, pihak KPT buat masa sekarang masih mengunggu laporan penuh punca kematian sebenar pelajar tersebut serta menunggu laporan makmal.
“Sekurang-kurangnya terdapat tiga (3) laporan yang perlu diperoleh bagi melengkapkan siasatan terperinci iaitu dari pihak Hospital Sultanah Bahiyah, Jabatan Kimia Malaysia dan Polis Diraja Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menerusi kenyataan sama memaklumkan UUM telah memberi komitmen kepada KPT untuk bekerjasama penuh dengan pihak berkenaan agar siasatan secara telus dapat dilakukan.
“KPT berharap semua pihak yang terlibat dapat bersabar menunggu hasil siasatan pihak berkuasa,” katanya.
Terdahulu, pelajar Semester 4 Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) di Universiti Utara Malaysia (UUM) itu telah meninggal dunia dipercayai mengalami serangan sawan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.