KUALA LUMPUR: Hari ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan agar bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membela diri atas 47 pertuduhan jenayah.
47 pertuduhan tersebut berkait dengan penyelewengan dana daripada Yayasan Akalbudi yang melibatkan 12 pertuduhan pecah amanah, 27 pertuduhan penggubahan wang haram dan lapan pertuduhan rasuah.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001.
Selain itu, beliau turut didakwa bagi 40 pertuduhan lain yang menjadikan jumlah pertuduhan ke atas beliau adalah sebanyak 87 pertuduhan.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap Presiden Umno berusia 68 tahun itu atas kesemua 47 pertuduhan.
Sebelum ini, beliau telah menolak hujah pihak pembelaan agar Zahid Hamidi dibebaskan daripada segala pertuduhan.
Bagaimanapun, beliau memberi Zahid Hamidi tiga pilihan untuk membela dirinya sama ada melalui akuan sumpah dari kandang saksi, memberi kenyataan dari kandang tertuduh atau berdiam diri.
Mahkamah turut memutuskan perbicaraan seterusnya bagi kes tersebut adalah pada 3 Februari akan datang.
Zahid Hamidi pula menjelaskan bahawa beliau akur dengan keputusan mahkamah namun beliau serta pasukan peguamnya akan terus berusaha dalam membela dirinya mengikut prosedur yang ditetapkan.
SUMBER FOTO: TWITTER HADI AZMI (@amerhadiazmi)