KOTA BHARU: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju membuat keputusan meluluskan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM1,000 kepada kakitangan penjawat awam negeri Kelantan.
Menurut Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Hj Ahmad bin Yakob dalam sebuah kenyataan media, mereka yang layak menerima sumbangan adalah golongan gred 56 dan ke bawah.
Penghulu Mukim, Penghulu Tanpa Mukim Parlimen dan DUN, Pegawai dan Guru Halaqat, Ahli Majlis, Penyelaras ICT DUN dan Penyelaras Armalah layak menerima sumbangan sebanyak RM500.
Guru al-Quran, Guru Fardu Ain dan Guru (Mudaribah) Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) pula layak menerima sumbangan sebanyak RM250.
Selain itu, Kerajaan Negeri Kelantan turut bersetuju untuk menyalurkan sumbangan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada setiap Guru Pondok di negeri tersebut.
Sumbangan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri bakal disalurkan kepada mereka yang layak sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Di samping itu, Kerajaan Negeri Kelantan dalam kenyataan media yang sama turut mengisytiharkan 5 Mei 2022 iaitu Khamis sebagai Hari Kelepasan Am (Cuti Peristiwa) bagi negeri Kelantan.