21 April 2022: Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Ke-13, Tan Sri Dr. Ali Hamsa telah meninggal dunia pada hari ini bersamaam 19 Ramadan 1443H di Hospital Dublin, Ireland.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, pemergian Allahyarham pada Ramadan yang mulia adalah satu kehilangan besar kepada negara dan perkhidmatan awam.
“Beliau merupakan seorang anak jati Johor dan dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara Ke-13 serta merupakan tokoh besar dalam Perkhidmatan Awam Negara,” katanya
Menelusuri sejarah gemilang perkhidmatan Allahyarham, beliau telah menabur bakti di pelbagai Kementerian dan Jabatan antaranya di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Perkhidmatan Awam dan Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri.
“Semoga Allah SWT merahmati dan menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya dalam kenyataan hari ini.