JOHOR BHARU: Laporan Sekretatriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor menyatakan bahawa seramai 5,486 mangsa banjir telah direkodkan di negeri tersebut setakat jam 12 tengah hari tadi.
Sebanyak 80 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Johor, antaranya ialah Politeknik Mersing.
Terkini, 7 daerah di Johor yang dilanda banjir iaitu Segamat, Tangkak, Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Batu Pahat dan Muar.
Pihak Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) telah menyalurkan bekalan makanan bagi mangsa banjir di semua PPS yang terlibat.
Setakat semalam, terdapat dua fasiliti kesihatan yang ditutup akibat terjejas dengan banjir di daerah Segamat.
Fasiliti kesihatan tersebut adalah Klinik Desa Gemas Baru dan Klinik Kesihatan Palong Timur, namun setakat ini hanya Klinik Desa Gemas Baru yang masih ditutup sehingga 14 Januari 2022 manakala Klinik Kesihatan Palong Timur sudah kembali beroperasi.
Jabatan Kesihatan negeri Johor telah menghantar 47 pasukan perubatan bergerak yang melibatkan 202 anggota dan 52 pasukan kesihatan bergerak yang dianggotai seramai 97 anggota bertugas ke PPS di sekitar negeri Johor setakat semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, YB R. Vidyananthan turut menegaskan pengamalan prosedur operasi standard (S.O.P) di mana-mana lokasi dalam kenyataannya hari ini.
SUMBER FOTO: FACEBOOK JKR MERSING