KOTA BHARU: Susulan daripada peralihan Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri Kelantan bermula 3 Januari, Kelantan kini membenarkan jemaah untuk menunaikan solat jumaat, solat fardhu dan aktiviti keagamaan di masjid, surau serta musalla mengikut kapasiti ruangan dengan mematuhi penjarakan fizikal, berkuat kuasa hari ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata pelaksanaan tersebut turut mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri.
“Prosedur Operasi Standard (SOP) pelaksanaan solat jumaat dan solat fardhu lima waktu dikekalkan sebagaimana yang telah dikeluarkan sebelum ini.”
“Pihak MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya untuk melaksanakan ketetapan ini dengan mematuhi sepenuhnya SOP yang ditetapkan oleh pihak masjid, surau serta musalla,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Rizam turut berkata pihaknya akan mengarahkan mana-mana masjid, surau atau musalla untuk tutup sekiranya didapati terdapat kes yang melanggar SOP di rumah ibadat tersebut.