KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Task Force Pengurusan Pasca Banjir Monsun Timur Laut 2021/2022 semalam.
Mesyuarat ini membincangkan pengurusan pasca banjir serta persediaan menghadapi gelombang kedua.
Antara pelan pengurusan banjir yang dibincangkan adalah pelaksanaan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) sejurus tamat Monsun Timur Laut bagi membincangkan pelan jangka pendek dan jangka panjang pengurusan banjir negara.
Beberapa cadangan penambahbaikan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut dibincangkan seperti Sistem Amaran Siren Banjir Berpusat dikoordinasi oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Penambahan jumlah siren yang dilengkapi amaran suara di lokasi-lokasi berisiko turut dicadangkan.
Pemasangan Kamera Litar Tertutup (CCTV) di stesen pemantauan aras air turut diusulkan bagi membantu penduduk bersedia untuk berpindah jika aras air berada pada tahap bahaya.
Selain itu, setakat 1 Januari 2022, permohonan Pinjaman Mikro BSN untuk isirumah sebanyak RM33 juta daripada RM93 juta telah diluluskan sejak dilancarkan pada 27 Disember 2021.
Bagi Bantuan Wang Ihsan (BWI) pula, seramai 28,258 daripada 46,162 Ketua Isi Rumah (KIR) telah menerima bantuan setakat 2 Januari 2022 dan bantuan diagihkan dalam masa 10 hari selepas mangsa terkesan banjir.
Pelaksanaan semua inisiatif Pasca Banjir Bencana Monsun Timur Laut 2021/2022 akan dipantau Task Force bagi memastikan mekanisme kesiapsiagaan dan pengurusan bencana negara sentiasa berada pada tahap optimum.
SUMBER FOTO: FACEBOOK RASMI PERDANA MENTERI MALAYSIA DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB