PUTRAJAYA: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) meramalkan fenomena air pasang besar berlaku dari 2 Januari hingga 5 Januari (Ahad hingga Rabu) di beberapa buah negeri.
Negeri-negeri yang terlibat adalah Kedah (Kuala Muda), Perak (Bagan Datoh), Selangor (Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor) serta Johor (Batu Pahat dan Pontian).
Menurut KASA, keadaan akan menjadi lebih teruk jika fenomena ini berlaku serentak dengan angin kencang, ombak besar serta hujan lebat dan seterusnya menyebabkan banjir kilat, limpahan air laut dan banjir pantai berlaku.
Orang ramai terutamanya pengunjung pantai dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dalam melakukan aktiviti air, riadah dan rekreasi di kawasan-kawasan yang terlibat pada tarikh yang dinyatakan.
Orang ramai juga diminta untuk mengikuti ramalan cuaca dan bersedia untuk ke tempat yang selamat dan mematuhi perintah pihak berkuasa yang ditetapkan jika keadaan bertambah buruk.
Maklumat lanjut mengenai aras air semasa sungai-sungai utama di seluruh negara boleh didapati di laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my/ atau melalui aplikasi MyPublicInfoBanjir.