PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menandatangani sebuah perjanjian persefahaman (MoU) bersama Straumann Group Sdn. Bhd. (Straumann Group) hari ini (19 Mei 2022).
Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin, pemeteraian MoU bersama Straumann Group yang merupakan sebuah syarikat peneraju bertaraf dunia dalam bidang implan (implantology) dan pergigian estetik bakal memberi manfaat kepada rakyat terutama daripada golongan B40 bagi mendapatkan rawatan implan pergigian.
Melalui MoU ini, Straumann Group ingin menyumbang sebanyak 3,000 pakej implan pergigian lengkap bernilai lebih RM10 juta kepada mereka yang memerlukan.
KKM berharap agar kerjasama ini dapat meningkatkan akses kepada perkhidmatan implan pergigian dan memberi laluan kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan pergigian yang menyeluruh buat Keluarga Malaysia.
Beliau juga berkata bahawa KKM akan menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan program implan pergigian ini berjaya dan tidak menjurus kepada sebarang komplikasi.
Pesakit juga perlu komited dalam menghadiri rawatan suslan ekoran kajian menunjukkan sebanyak 19 hingga 65 peratus pesakit yang menerima rawatan implan pergigian mendapat penyakit mucositis, manakala 1 hingga 47 peratus pesakit mendapat penyakit keradangan (per-implantits) jika tidak dipantau secara berkala.
KKM akan terus komited dalam memastikan tahap kesihatan mulut yang terbaik dapat dicapai dalam kalangan rakyat Malaysia melalui Pelan Kesihatan Pergigian Kebangsaan 2021-2030.