SHAH ALAM: Susulan penangguhan selama dua (2) tahun akibat pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk melaksanakan semula Insentif Haji Muassasah Selangor 2022 untuk tahun kelima.
Dato’ Seri Amirudin Shari, YAB Menteri Besar Selangor, berpendapat inisiatif tersebut akan memanfaatkan seramai 3,000 bakal jemaah haji dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.5 juta.
“Setiap penerima insiatif ini akan menerima wang tunai sumbangan Kerajaan Negeri iaitu sebanyak RM500 beserta kit cenderamata yang mengandungi beg, penyahkuman tangan, losyen, pelembap bibir, tuala muka serta tisu basah,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurutnya, urusan bagi permohonan insiatif ini akan dijalankan selama tiga (3) bulan seawal Isnin, 23 Mei 2022 sehingga Rabu, 31 Ogos 2022 melalui Pusat Khidmat Ahli Dewan Negeri (ADN) dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Selangor.
Sehubungan itu, bagi bakal jemaah haji yang berminat, hanya perlu membawa kad pengenalan serta salinan surat tawaran mengerjakan haji muassasah yang lengkap dengan maklumat penerbangan sewaktu membuat permohonan.
Katanya lagi, Insentif Haji Muassasah Selangor 2022 ini adalah merupakan satu lagi usaha Kerajaan Negeri yang diurusetiakan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) sebagai sebahagian Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anjuran MBI.
“Semoga inisiatif ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban serta mempermudahkan urusan bakal tetamu-tetamu Allah yang terpilih,” ujarnya.