PUTRAJAYA: Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM30 juta bagi pemberian Geran Padanan Bagi Tujuan Pembaikan Inap Desa (Homestay) dan Geran Padanan Bagi Tujuan Pembaikan Kepada Hotel Bajet di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) pada tahun 2022.
Peruntukkan tersebut diedarkan melalui Pembentangan Bajet 2022 dan tempoh permohonan dibuka daripada 1 hingga 30 April 2022 bagi semua pengusaha inap desa (homestay) yang berdaftar di bawah Program Pengalaman Homestay Malaysia.
MOTAC hari ini dalam sebuah kenyataan media dengan sukacita mengumumkan bahawa tarikh tutup bagi permohonan Geran Padanan Bagi Tujuan Pembaikan Inap Desa (Homestay) dilanjutkan sehingga 15 Jun 2022.
Justeru, MOTAC menyeru semua pengusaha homestay yang layak untuk segera melakukan permohonan geran yang ditawarkan.
MOTAC berharap dengan pemberian geran ini, pengusada homestay di bawah Program Pengalaman Homestay Malaysia dapat kekal berdaya saing dalam mempromosikan program ini agar pelancong tertarik untuk menginap di homestay di Malaysia.
Maklumat lanjut seperti Garis Panduan Permohonan, Borang Permohonan dan lain-lain boleh didapati di laman sesawang rasmi MOTAC (www.motac.gov.my/geran-padanan).