LUMUT: Tentera Laut Diraja Thailand (TLDT) telah mengadakan lawatan ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut pada 1 hingga 3 Mac 2022 bagi program Pelayaran Latihan Laut Pegawai Kadet TLDT.
Lawatan tersebut telah diadakan menerusi dua (2) buah kapal milik TLDT iaitu HTMS Bangpakong (FF 456) dan HTMS Naresuan (FFG 421).
Seramai 249 Pegawai Kadet TLDT telah mengikuti program pelayaran tersebut dan memilih Pangkalan TLDM Lumut sebagai salah satu lokasi persinggahan bagi melengkapkan siri Latihan mereka.
Menurut kenyataan, program lawatan tersebut telah dijalankan tanpa melibatkan sebarang aktiviti bersentuhan bagi memenuhi Standard Operating Procedure (SOP) sejajar langkah pencegahan penularan COVID-19.
Dalam pada itu, Timbalan Komandan, Akademi Tentera Laut Diraja Thailand, Laksamana Muda Pracha Sawangjang turut melaksanakan kunjungan hormat ke atas Yang Berbahagia Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar bin Md Ajis.
“TLDM sentiasa mengambil peluang untuk memperkasakan lagi kerjasama pertahanan sesama negara serantau. Aktiviti lawatan kapal sebegini bukan sahaja akan mempereratkan kerajasama, malah dapat membuka ruang bagi TLDM dan TLDT memperhalusi pemasalahan berkaitan isu keselamatan maritim”, menurut kenyataan itu.
Terdahulu, ketibaan dua buah kapal jenis Frigate milik TLDT di Tambatan Pangkalan Lumut telah disambut oleh Yang Berbahagia Timbalan Panglima Armada Barat, Laksamana Pertama Farizal Myeor serta barisan pegawai Markas Pemerintahan Armada Barat.