LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah berjaya memberkas dua orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang merupakan warganegara Indonesia dalam cubaan mereka memasuki negara secara tidak sah.
TLDM dalam Op Benteng Laut telah memberkas kedua-dua PATI tersebut di perairan Tenggara, Johor pada pagi semalam.

KD Sundang yang terlibat dalam penugasan Op Benteng Laut telah mengaturgerak bot-bot pemintas iaitu Fast Combat Boat (FCB) 101, Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) Lepau dan RHIB Santi bagi memintas bot pancung yang digunakan oleh dua PATI tersebut.

Maklumat awal berkenaan cubaan PATI tersebut memasuki negara telah disalurkan oleh Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) Bukit Pengerang sejurus mengesan sebuah bot yang mencurigakan di posisi 1.5 batu nautika Tenggara Tanjung Ayam.
Ekoran tindakan pantas RHIB Lepau dan RHIB Santi, bot pancung tersebut telah berjaya ditahan dan kedua-dua PATI tersebut dibawa ke Jeti Maritim Tanjung Pengelih berserta barang rampasan sebelum diserahkan kepada pihak Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) untuk tindakan selanjutnya.
SUMBER FOTO: LAMAN FACEBOOK RASMI TENTERA LAUT DIRAJA MALAYSIA