ISKANDAR PUTERI: Pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri telah menahan seorang pemandu lori yang disyaki membawa muatan minuman keras tidak bercukai semalam.
Ketua Polis Johor, Dato’ Kamarul Zaman Bin Mamat berkata bahawa pihak polis telah menerima satu panggilan daripada pegawai Kastam Diraja Malaysia yang meminta bantuan mereka untuk menahan lori tersebut.
Tiga buah unit kereta peronda MPV Iskandar Puteri telah diarahkan ke lokasi kejadian di mana berlaku kejar-mengejar sebelum lori tersebut ditahan di Jalan Tuas – Lima Kedai.
Ketika kejadian, lori tersebut telah merempuh sebuah MPV sehingga menyebabkan kerosakan pada bahagian belakang kenderaan polis tersebut namun tiada sebarang kecederaan yang berlaku.
Kes tersebut disiasat mengikut seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, seksyen 39D Akta Senjata 1960 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
Suspek direman selama 10 hari bermula 22 April 2022 sehingga 1 Mei 2022 untuk tindakan lanjut dan hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah.
Pihak Polis Johor akan bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi membanteras sindiket penyeludupan termasuk beberapa kumpulan tonto.
SUMBER FOTO: LAMA FACEBOOK RASMI POLIS DIRAJA MALAYSIA KONTINJEN JOHOR