9 Mac 2022 – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Offsite yang berdaftar di bawah ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) akan ditutup secara berperingkat bermula Mac 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Dato’ Dr. Anas Alam Faizli berkata keputusan itu dibuat setelah peratusan populasi dewasa yang disuntik dos penggalak setakat ini telah mencapai 64 peratus.
Menurutnya, PPV Offsite yang telah dibuka serta objektif untuk merancakkan pemberian dos penggalak kepada orang ramai telah tercapai.
Bagaimanapun, pemberian suntikan vaksin masih akan diteruskan oleh PPV Onsite.
“ProtectHealth terus komited dalam melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan masih membuka PPV Offsite dan Onsite untuk memberi dos penggalak kepada orang ramai. Setakat ini, 1,102 PPV Onsite dan 111 PPV Offsite dibuka pada minggu ini”, katanya.
“Kebanyakkan PPV Offsite sebelum ini menggunakan dewan komuniti, pusat konvensyen dan pusat membeli-belah dalam memudahkan orang ramai untuk mendapatkan dos penggalak.
“Walaubagaimanapun, kebanyakkan PPV Offsite di dewan dan pusat membeli-belah akan ditutup secara beransur-ansur tidak lama lagi”, jelasnya lagi.
Sementara itu, Dato’ Dr. Anas dalam kenyataan sama turut menggesa kepada mereka yang belum mendapatkan dos penggalak untuk segera mendapatkannya untuk mengurangkan kadar jangkitan COVID-19.
“Anda dinasihatkan untuk segera mendapatkan dos penggalak. Dengan gelombang Omicron yang sedang melanda ini, vaksinasi terbukti dapat mengurangkan kemudaratan jangkitan COVID-19”, katanya.
Sehingga 7 Mac 2022, lebih 15 juta dos penggalak telah diberikan dan 77.5% atau 11.6 juta dos telah disumbangkan oleh Pengamal Perubatan Swasta (PMP) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Penjagaan Kesihatan di bawah ProtectHealth.
Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan suntikan dos penggalak atau dos primer vaksin COVID-19 (dos 1 dan 2), dinasihatkan untuk menyemak senarai PPV di laman web ProtectHealth www.protecthealth.com.my terlebih dahulu untuk mengelakkan sebarang kesulitan.