KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi mengeluarkan arahan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mendaftarkan Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (MUDA) dalam masa 14 hari semalam.
KDN turut diarahkan untuk membayar kompaun guaman sebanyak RM10,000 kepada MUDA
Syed Saddiq Abdul Rahman yang merupakan Ahli Parlimen dan juga pengasas MUDA berpuas hati dengan keputusan yang dikeluarkan oleh pihak mahkamah setelah setahun setengah berjuang untuk mendaftarkan MUDA sebagai parti politik.

Beliau berkata bahawa keputusan itu berpihak kepada MUDA dan juga sistem demokrasi negara.
Beliau turut berkata, ekoran keputusan mahkamah MUDA kini mempunyai posisi untuk menyuarakan pendapat, cadangan serta kritikan demi membangunkan Malaysia.
“MUDA adalah untuk semua rakyat Malaysia, tidak kira miskin atau kaya, tua atau muda, berlainan bangsa, agama dan fahaman politik.” kata beliau dalam catatan Facebook miliknya semalam.
KDN sebelum ini telah beberapa kali menolak permohonan MUDA untuk didaftarkan sebagai parti politik atas beberapa sebab.
Antara sebab penolakan permohonan yang diberikan oleh KDN adalah terdapat kesalahan ketika mengisi borang permohonan.
Ekoran itu, Syed Saddiq dan 12 individu lain sebagai plaintif memfailkan permohonan semakan kehakiman dan menamakan KDN dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebagai responden pertama dan reponden kedua pada 24 Ogos lalu.
Hakim Datuk Noorin Badaruddin membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh plaintif dan memutuskan untuk memberi tempoh selama 14 hari bagi KDN bagi mendaftarkan MUDA secara sah.
SUMBER FOTO: TWITTER DR.MARTHEN (@DrMarthen)