SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor prihatin dengan keluhan dan rungutan umat Islam di negeri Selangor yang tidak dapat menunaikan solat fardhu Jumaat pada 25 Februari 2022 yang lalu berikutan belum menerima suntikan dos penggalak (booster) COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Negeri Selangor, YB Tuan Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, “Kerajaan Negeri Selangor ingin menegaskan bahawa ketetapan tersebut dilaksanakan setelah mendapat perkenan D.Y.M.M Sultan Selangor melalui surat arahan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang bertajuk ‘Arahan Mempertingkatkan Penguatkuasaan Pematuhan Prosedur Operasi Standart (SOP) Di Masjid, Surau Dan Musolla Negeri Bagi Mengawal Pandemik COVID-19’.
Menurut beliau, perkenan ini merupakan satu keprihatinan oleh Baginda untuk mengelakkan jangkitan wabak COVID-19 setelah mendapat nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berikutan perkembangan terkini jangkitan pandemik tersebut.
Selain itu, YB Zawawi Mughni turut berkata bahawasanya pendekatan mengalakkan rakyat negeri ini mengambil dos penggalak adalah bertepatan denagn salah satu prinsip Maqasid Syariah iaitu ‘Memelihara Nyawa’.
“Kerajaan Negeri Selangor amat prihatin terhadap kesihatan dan kemakmuran rakyat jelata dan sentiasa berusaha mengambil tindakan terbaik untuk mencapai maksud tersebut.
“Kerajaan juga yakin bahawa perkenan D.Y.M.M Sultan Selangor mewajibkan pengambilan dos penggalak untuk menyertai solat fardhu Jumaat adalah berasaskan konsep Fiqhiyyah, iaitu sadd adz-dzara’i yang bermaksud ‘mencegah sesuatu perkara yang boleh membawa kearah kerosakan dan bahaya”, Kata beliau menerusi kenyataan.
Beliau dalam kenyataan yang sama turut menyeru kepada rakyat negeri agar segera mengambil suntikan dos penggalak secara percuma di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berhampiran bagi memastikan kesihatan diri, keluarga dan kepentingan awam terjaga.